Saturday , 17 February 2018

Saturday , 17 February 2018

Rafizi Mungkin Tidak Dibenarkan Bertanding Dalam PRU-14

Rafizi Mungkin Tidak Dibenarkan Bertanding Dalam PRU-14

Shah Alam : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkemungkinan tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang selepas Mahkamah Sesyen di sini mendapati dia bersalah kerana mendedahkan butiran perbankan sulit berkaitan skandal Perbadanan Feedlot Kebangsaan (NFC).

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap Rafizi dan bekas kerani bank, Johari Mohamad yang bersubahat dengannya selama 30 bulan penjara.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan dibuat.

Di bawah Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang wakil rakyat akan kehilangan kerusinya jika dia dipenjara sekurang-kurangnya setahun atau dikenakan denda minimum RM2,000.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zamri Bakar berkata, mahkamah mendapati kedua-dua lelaki itu gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam pembelaan mereka.

Rafizi dan peguam Johari meminta agar penangguhan hukuman penjara dilaksanakan bagi memfailkan rayuan.

Timbalan pendakwaraya, Lailawati Ali tidak membantah permintaan itu tetapi meminta mahkamah menaikkan wang jaminan kepada RM30,000.

Zamri membenarkan penangguhan tersebut dan memerintahkan wang jaminan dikekalkan kepada RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Turut hadir di mahkamah ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menjadi penjamin kepada Rafizi.

Terdahulu, Lailawati meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kedua-duanya melakukan jenayah serius yang melibatkan kerahsiaan industri perbankan.

“Sebagai anggota Parlimen, Rafizi sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak bertindak seperti itu.

“Maklumat sedemikian adalah sulit dan mesti dilindungi oleh bank,” katanya, sambil menambah bahawa seorang kakitangan industri perbankan yang berpengalaman selama 17 tahun seperti Johari juga sepatutnya tidak mendedahkan maklumat tersebut.

 

Rafizi Mungkin Tidak Dibenarkan Bertanding Dalam PRU-14 Reviewed by on . Shah Alam : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkemungkinan tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang selepas Mahkamah Sesyen di sini m Shah Alam : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkemungkinan tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang selepas Mahkamah Sesyen di sini m Rating: 0

Leave a Comment

scroll to top