
Kuala Lumpur : Pertama kali digandingkan sebagai hos baharu rancangan Melodi di TV3 yang disiarkan semalam, Ajak Shiro dan Janna Nick tidak melatah atau melenting meskipun dihujani komen-komen negatif.
Dikecam sebagai pengacara kayu dan berlebih-lebih, Ajak ketika dihubungi Utusan Online bagaimanapun merendah diri dan meminta agar mereka diberikan masa untuk memperbaiki keadaan menjadi lebih baik.
“Insya-Allah, tugas yang diamanahkan ini akan digalas sebaik-baiknya demi kelangsungan karier seni kami berdua dalam bidang ini.
“Takkanlah kami sengaja hendak main-main dengan bersikap sambil lewa terhadap tanggungjawab yang telah diberikan.
“Kami tahu, Melodi merupakan sebuah rancangan hiburan yang mempunyai jumlah penonton yang ramai, ini adalah peluang keemasan untuk buktikan kredibiliti kami,” katanya.
Sementara itu Janna menerusi laman Instagramnya meminta supaya penonton bersabar dan merestui kehadirannya sebagai pengacara baharu program tersebut bagi menggantikan tempat Awal Ashaari dan AG Azmeer.
Ujar Janna, setiap kritikan membina yang dicoretkan di media sosial akan dijadikan rujukan demi kebaikan mereka berdua yang dipertanggungjawabkan selama semusim untuk mengacarakan program hiburan popular tersebut.
“Banyak lagi yang perlu kami belajar terutama saya sendiri yang baru berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan berbanding Ajak yang sudah menimba pengalaman sebelum ini,” ujarnya ringkas.