Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah hari menyebabkan mangsa, Norhisham Sahuri, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terperangkap pada bahagian pemandu lori yang terbakar itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, ketika kejadian lori yang membawa muatan bahan polimer itu dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya menyebabkan lori terbabit hilang kawalan sebelum terbalik. Kenderaan berat itu kemudiannya terbakar.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemui rentung pada tempat duduk bahagian pemandu lori terbabit,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azizan berkata, mayat mangsa yang rentung itu telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat dan mayat mangsa kemudiannya dituntut oleh ahli keluarga kira-kira pukul 5 petang tadi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut,” ujarnya.

Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian bolehlah menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03- 3187 2222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor, Keisha Nur Azalea Betty Saran. – K! ONLINE