Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Yee Kok Chew, 58, selaku orang kena saman (OKS) selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.

OKS membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bertindak zalim dengan memukul, menyakiti dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan serta penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong pada pukul 8.49 malam, 2 April lalu.

OKS didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452) yang boleh dihukum dibawah akta sama.

Akta itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela Datuk Jerald Gomez yang mewakili OKS dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana anjing tersebut tidak mempunyai kecederaan serius. Keadaan anjing itu kini sihat dan cergas.

“Selepas video kejadian itu viral, OKS telah kehilangan lesen francais dalam perniagaan. OKS juga meminta maaf berhubung tindakannya terhadap anjing itu,” katanya.

Dalam prosiding itu, anjing berwarna coklat dan putih yang dipanggil sebagai Furby turut dibawa ke dalam mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Veterinar Nabilah Mohammad Zanudin memohan hukuman berat sebagai pengajaran dan amaran kepada OKS dan masyarakat.

“Kesalahan yang dilakukan oleh OKS adalah serius. Hukuman setimpal harus diberikan supaya jenayah sebegini tidak akan berleluasa” katanya.

Rakaman litar tertutup berdurasi 2.43 saat yang tersebar di laman sosial memaparkan seorang lelaki memukul dengan ganas anjing itu menggunakan topi keledar. – K! ONLINE