Tuesday , 12 December 2017

Tuesday , 12 December 2017

Keputusan Rayuan Hukuman Penjara Rafizi, 23 Ogos

Keputusan Rayuan Hukuman Penjara Rafizi, 23 Ogos

Kuala Lumpur : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Ogos untuk keputusan rayuan anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli terhadap hukuman penjara 18 bulan kerana memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Mohd Rafizi selaku perayu dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden.

Mohamad Abazafree dalam hujahnya berkata sebahagian kandungan pada halaman 98 telah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, memiliki maklumat yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi adalah salah.

“Situasi yang dipertuduhkan ialah beliau (Mohd Rafizi) menyatakan dalam sidang medianya bahawa dalam milikannya satu dokumen rahsia berkaitan 1MDB,” katanya.

Gobind dalam hujahnya pula mempertikaikan kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan keseluruhan halaman 98, sebaliknya hanya sebahagian halaman sahaja yang dikemukakan, oleh itu pendakwaan telah gagal membuktikan elemen milikan terhadap Mohd Rafizi.

Pada 14 Nov tahun lepas, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Bagaimanapun, Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan Mohd Rafizi didengar di Mahkamah Tinggi.

Naib Presiden PKR itu didapati bersalah memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Mohd Rafizi, 40, turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun. – Bernama

Keputusan Rayuan Hukuman Penjara Rafizi, 23 Ogos Reviewed by on . Kuala Lumpur : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Ogos untuk keputusan rayuan anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli terhadap hukuman penjara 18 Kuala Lumpur : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Ogos untuk keputusan rayuan anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli terhadap hukuman penjara 18 Rating: 0

Leave a Comment

scroll to top