Bagaimanapun, lelaki berusia 25 tahun itu seolah-olah tidak insaf dengan perbuatan silamnya apabila kembali ditangkap polis pada 6 Januari lalu di Pangkalan Asam di sini selepas terlibat dengan jenayah ragut.

Sehari sebelum itu, lelaki terbabit melakukan jenayah tersebut terhadap enam mangsa yang kesemuanya wanita hanya dalam tempoh enam jam di sekitar kawasan Padang Besar.

Modus operandi lelaki berkenaan ketika melakukan perbuatan itu adalah sama iaitu memerhati sasaran sebelum mengekori mangsa yang menaiki motorsikal dan apabila mereka berhenti di lampu isyarat, suspek terus bertindak.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Azisman Alias, suspek yang menggunakan motosikal yang dipinjam dari seorang rakannya melakukan jenayah samun itu antara pukul 7 pagi hingga pukul 2 petang, melibatkan mangsa berumur antara 17 tahun hingga 39 tahun.

Katanya, hasil risikan dan siasatan polis selepas itu, lelaki tersebut berjaya ditahan keesokan harinya di sebuah kawasan di Pangkalan Asam di sini kira-kira pukul 7 petang.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah tersebut seorang diri. Suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi. Suspek yang dipenjara tahun lalu sebenarnya baharu sahaja dibebaskan dari penjara pertengahan Disember lalu.

“Hasil saringan ujian air kencing, suspek juga didapati positif dadah. Lelaki tersebut direman tujuh hari sehingga 13 Januari depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan bersama Ketua Polis Perlis di pekarangan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Katanya lagi, kesemua mangsa tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, kita berjaya menyelesaikan kes berkaitan samun di kawasan Padang Besar. Suspek mungkin melakukan jenayah itu di kawasan-kawasan lain sekiranya masih bebas,” katanya. – UTUSAN ONLINE