Saturday , 19 August 2017

Saturday , 19 August 2017

Ayah Ummi Nazeera Dipenjara 31 Tahun

Ayah Ummi Nazeera Dipenjara 31 Tahun

Kuala Lumpur : Bapa pelakon Ummi Nazeera, Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 64, dikenakan hukuman penjara 31 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan.

Beliaun yang juga ahli perniagaan bersalah terhadap 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen berhubung surat peletakan jawatan dan pemindahan saham milik isteri keduanya, sembilan tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 64, yang juga bapa kepada pelakon Ummi Nazeera, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh, yang diwakili peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos, dikenakan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai namun menaikkan wang jaminan daripada RM200,000 kepada RM250,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga 10, Zainulabadin didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi beberapa dokumen bagi memindah milik 1.68 juta unit saham syarikat Mutiara Efektif (M) Sdn.Bhd., daripada Datuk Maziah Musa, 51 , selaku pemberi pindah milik, kepada anak tertuduh, Ahmad Fikhri.

Selain itu, dia juga dituduh menggunakan dokumen palsu untuk melantik anaknya, Ahmad Fikhri dan Nor A’khilah sebagai pengarah syarikat B.TIS Manufacturer Sdn. Bhd. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Indah Secretarial Management, 18-1, Jalan 15/48A, Sentul Raya Boulevard, Sentul, dekat sini, antara Disember 2006 dan Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan. Dalam penghakiman, Norsharidah berkata keterangan ahli kimia kerajaan telah mengesahkan antara tulisan dan spesimen tanda tangan pengadu (Maziash) dalam kesemua dokumen yang dipertikaikan dipalsukan.

Beliau menyifatkan kes itu berlaku disebabkan masalah keluarga yang bersifat tamak dan dendam. Terdahulu, Maziah memberitahu mahkamah bahawa kesan daripada tindakan tertuduh menyebabkan beliau hilang hak sebagai pengarah dan juga pemegang saham bagi syarikat berkenaan.

Sejurus mendengar keputusan mahkamah, Maziah tidak dapat menahan sebak dan terus memeluk Ummi Nazeera dan anak lelakinya, Ahmad Nazreem yang sentiasa memberi sokongan terhadapnya sehingga kes selesai. Ketika ditemui di luar mahkamah, Ummi Nazeera memberitahu pemberita beliau bersyukur dengan keputusan berkenaan dan menyatakan segala keperitan ibunya telah berakhir.

“Saya mengagumi ibu saya yang begitu tabah melalui segalanya. Saya dan abang saya sentiasa di belakang ibu saya,” katanya yang pernah membintangi drama bersiri popular, Nur Kasih dan filem Hikayat Merong Mahawangsa. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria. Sebanyak 13 saksi pendakwaan dan 13 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu. – BERNAMA

Ayah Ummi Nazeera Dipenjara 31 Tahun Reviewed by on . Kuala Lumpur : Bapa pelakon Ummi Nazeera, Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 64, dikenakan hukuman penjara 31 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas did Kuala Lumpur : Bapa pelakon Ummi Nazeera, Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 64, dikenakan hukuman penjara 31 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas did Rating: 0

Leave a Comment

scroll to top