Tumpuan sudah pasti tertumpu ke arah barisan anak buah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang diharap mampu menamatkan episod suram itu apabila melayani kunjungan pasukan ke-188 dunia, Bhutan pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Bagi pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, beliau percaya penyerang prolifiknya Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mampu memberi impak positif terhadap jentera serangan skuad kebangsaan sekiranya diturunkan pada aksi tersebut.

Abu Bakar berkata pemain berusia 23 tahun itu yang sebelum ini hampir menggantung but pada 2015 selepas disahkan mengalami masalah jantung, memiliki karakter seorang penggempur semula jadi selain mampu bermain di semua posisi pada bahagian serangan.

“Dia (Muhammad Shahrel) layak menyarung jersi kebangsaan selepas kerja keras dan keazaman yang ditunjukkan dalam usaha meningkatkan prestasinya selama ini selain membuktikan dia salah seorang penyerang tempatan terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini.

“Mungkin dia kurang dari segi pengalaman beraksi di pentas antarabangsa, tetapi dia seorang pemain yang bijak membaca peluang serta mudah menyesuaikan diri dalam sesuatu perlawanan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abu Bakar berkata kemampuan menjaringkan gol melalui tandukan serta kebolehan mengawal bola dengan kedua-dua kakinya menjadikan beliau seorang penyerang yang istimewa dan kehadirannya dalam skuad kebangsaan akan memberi lebih banyak pilihan kepada Cheng Hoe.

“Dengan keupayaan menjaringkan gol menerusi pelbagai cara selain memiliki susuk tubuh seorang penyerang yang digeruni di tambah dengan kebolehan menggunakan kedua-dua kakinya, saya rasa dia akan memberi nafas baharu kepada jentera serangan jika diturunkan,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Shahrel yang dinobatkan Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017, sebelum ini pernah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan oleh bekas ketua jurulatih Nelo Vingada, namun digugurkan akibat kecederaan.

Beliau dipanggil semula menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan berkesudahan Malaysia tewas 1-2, namun beliau hanya memanaskan bangku simpanan pada perlawanan tersebut. – Bernama