Bermula wisel perlawanan ditiup, kedua-dua pasukan menunjukkan permainan saling menyerang ke kubu lawan dalam usaha mendapatkan jaringan awal.

Selangor terlebih dahulu mendapat peluang baik apabila penyerang berbisa mereka, Rufino Segovia Del Burgo menendang bola ke gawang PKNP FC namun bola tersebut dapat dibaca dan diselamatkan penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ketiga.

Selang satu minit, giliran pasukan tuan rumah menyusun serangan dan penyerang PKNP FC, Fandi Ahmad merembat bola tepat ke arah gol Selangor namun dapat ditepis penjaga gol, Muhammad Haziq Ridwan.

Pada minit ke-16, Selangor sekali lagi mendapat peluang untuk menjaringkan gol. Bagaimanapun, rembatan Rufino berjaya dihalang penjaga gol PKNP FC.

Ahmad Asyraaf sekali lagi menunjukkan aksi cemerlangnya apabila menyelamatkan bola tolakan pemain tengah Selangor, Evan Dimas Darmono selepas menerima hantaran bola daripada rakan sepasukan pada minit ke-34.

Dua minit kemudian, tendangan kencang Evan dari dalam kotak penalti sekali lagi ditepis Ahmad Asyraaf.

Usaha Selangor mencari gol pembukaan akhirnya berhasil pada minit ke-39 apabila pemain tengahnya, Muhammad Syahmi Safari mudah menyempurnakan hantaran silang daripada rakan sepasukan, Sean Eugene Selvaraj.

Tersentak dengan jaringan tersebut, PKNP FC memperkemaskan permainan dan hasilnya penyerang mereka, Fandi menanduk bola hantaran Deevan Raj Siva Balan namun Muhammad Haziq lebih bersedia menafikannya pada minit ke-45.

Penghujung babak pertama, Kapten PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan mendapat peluang dengan merembat kencang bola ke gawang Selangor tetapi bola sedikit tersasar.

Aksi permainan cantik kedua-dua pasukan diteruskan pada babak kedua perlawanan dan Hafiz sekali lagi menolak bola ke gawang Selangor selepas mendapat hantaran daripada Sangwoo Kim namun bola tersasar ke kanan gawang.

The Red Giant sekali lagi mendapat peluang untuk menambah jaringan namun percubaan penyerangnya, Ilham Udin Armaiyn digagalkan pertahanan PKNP FC, Ritus Krjauklis ketika Ahmad Asyraaf telah tewas pada minit ke-58.

Kemasukan penyerang berpengalaman, Mohd. Amri Yahyah ternyata membuahkan hasil apabila dia dengan tenang menendang bola masuk ke gawang PKNP FC selepas mendapat hantaran leret daripada Rufino pada minit ke-82.

Kedudukan pasukan tuan rumah ketinggalan 0-2 kepada Selangor itu kekal sehingga ke minit akhir perlawanan yang dihadiri hampir 2,000 penyokong daripada kedua-dua pasukan.

Dengan kekalahan tersebut, PKNP FC jatuh ke tangga kesembilan manakala Selangor naik satu tangga untuk menghuni tempat kelapan Liga Super. -kosmo.