Najib, 65, yang diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan itu diulangi terhadapnya untuk direkodkan pengakuan dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah pada pukul 10.32 pagi.

Terdahulu, kesemua pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Najib didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui Realtime Electronic Transfer of Fund And Securities (Rentas) yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank.

Pertuduhan kedua, Najib telah menerima wang berjumlah RM5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui Rentas.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Najib telah menerima wang berjumlah RM10 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui Rentas.

Beliau dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau tidak lebih RM5 juta jika sabit kesalahan.

Turut hadir dalam prosiding itu, Mohd. Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib dan suami Daniyar Kessikbayev yang berada di galeri awam.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Jabatan Peguam Negara,
Datuk Hanafiah Zakaria memohon mahkamah menggabungkan kesemua pertuduhan itu dengan kes terdahulu iaitu tiga pecah amanah dan satu rasuah di Mahkamah Tinggi 3.

Pihak pembelaan tidak membuat sebarang bantahan berhubung permohonan itu.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 bagi isu jaminan dan lain-lain.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan pecah amanah dan satu salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Ia melibatkan dana sebanyak RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. (SRC) iaitu bekas anak syarikat firma pelaburan kerajaan, 1MDB. – K! ONLINE