Thursday , 19 July 2018

Thursday , 19 July 2018

Makcik Bantu Najib Bukan Nak Menunjuk

Makcik Bantu Najib Bukan Nak Menunjuk

Jasin: Tindakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang, mendermakan seutas gelang emas untuk mengisi Tabung Kemudahan Guaman Datuk Seri Najib Razak bukan bertujuan menunjuk-nunjuk atau riak.

Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Melaka itu berkata, ia adalah tanda simpati dan sokongan kepada bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bukan niat saya untuk menunjuk. Saya buat begitu supaya ada yang akan mengikutnya untuk kita membantu pemimpin yang kita segani dan hormati.

“Orang kata, kalau kita nak tolong orang, berikanlah apa yang kita sayang.

“Malah, saya teringat kepada nostalgia zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra untuk ke London (menuntut kemerdekaan), ada yang sanggup gadaikan barang kemas demi kemerdekaan negara,” katanya ketika dihubungi BH, malam ini.

Video mengenai sumbangan gelang emas itu tersebar luas di media sosial selepas dimuat naik beberapa rakan Zaleha.

Video berdurasi 1.23 minit itu menunjukkan Zaleha menanggalkan gelang emas yang dipakai sebelum meletakkannya di atas piring dan diserahkan kepada seseorang, dipercayai ahli jawatankuasanya untuk mengisi Tabung Solidariti Bebaskan Najib yang dilancarkan baru-baru ini.

Tindakan Zaleha itu turut menyentuh hati bekas Perdana Menteri itu yang memuat naik entri mengenainya di akaun Twitter rasminya.

Zaleha mengakui gelang terbabit adalah antara barang kemas kesayangan yang dibeli selepas menamatkan perkhidmatan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban lima tahun lalu.

“Biarpun ada yang memuji dan tak kurang yang mengata, saya lakukan ini kerana saya pernah berkhidmat untuk parti ketika UMNO dipimpin oleh Datuk Seri Najib,” katanya.

Zaleha berkata, gelang terbabit dibeli seorang individu dengan harga RM3,500.

Susulan itu, Wanita UMNO Bahagian Jasin menggerakkan tabung berkenaan di sekitar Parlimen Jasin.

Katanya, aktiviti berkenaan juga disokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada pertemuan ringkas di Umbai, Serkam, di sini, hari ini.

“Sehingga lewat petang tadi, tabung berkenaan berjaya mengumpul kira-kira RM10,000 termasuk seutas lagi gelang emas yang disumbangkan ahli Wanita UMNO bahagian.

“Semua sumbangan itu akan diserahkan kepada EXCO Wanita UMNO, Datuk Latipah Omar, malam ini,” katanya.

Makcik Bantu Najib Bukan Nak Menunjuk Reviewed by on . Jasin: Tindakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang, mendermakan seutas gelang emas untuk mengisi Tabung Kemudahan Guaman Datuk Seri Najib Raz Jasin: Tindakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang, mendermakan seutas gelang emas untuk mengisi Tabung Kemudahan Guaman Datuk Seri Najib Raz Rating: 0

Leave a Comment

scroll to top