Monday , 18 June 2018

Monday , 18 June 2018

Fasha Sandha Sedia Berdamai Dengan Nora Demi Anak

Fasha Sandha Sedia Berdamai Dengan Nora Demi Anak

Kuala Lumpur : Mengambil keberkatan Ramadan, pelakon Fasha Sandha bersedia memohon maaf kepada Nora Danish, sekali gus meleraikan sengketa antara mereka yang sudah berlarutan terlalu lama.

Fasha, 34, berkata keputusan itu dibuat demi anak dan keluarga kedua-dua belah pihak dengan menyifatkan berdamai sebagai jalan terbaik kerana mahu mereka menjalani kehidupan dalam suasana harmoni.

“Saya bersedia melakukannya atas sebab kekeluargaan memandangkan anak sulung Nora, Putera Rayqal Ramli Rizal Ashram adalah abang kandung kepada dua cahaya mata saya.

“Justeru, saya ambil keputusan untuk memohon maaf secara terbuka kepada Nora atas luahan hati saya di laman sosial mengenai isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.

“Bagi saya, berdamai adalah jalan terbaik kerana isu antara kami sudah berlarutan terlalu lama,” katanya dalam satu pertemuan, baru-baru ini di BH.

Fasha berkata, pada usia 34 tahun, dia sudah matang dalam menilai setiap tindakannya dan keputusan itu dibuat demi kebaikan anak mereka yang sedang membesar.

“Apabila difikirkan semula, untuk apa kami bermusuh terlalu lama sedangkan anak kami mempunyai pertalian antara satu sama lain. Tidak elok jika mereka melihat hubungan kami berdua berterusan dilanda masalah.

“Saya tidak kisah memohon maaf, malah berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kami supaya berbaik semula. Syukur kerana Allah memperkenankan doa itu dengan bantuan peguam kami,” katanya.

Terdahulu, Fasha mengakui, dia dan Nora ke Pejabat Mediasi di Mahkamah Shah Alam pada minggu lalu, namun memohon pengertian semua kerana tidak dapat mengulas panjang mengenai perkara itu.

“Saya cuma berharap semua pihak mendoakan yang terbaik untuk kami. Insya-Allah, saya akan mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara rasmi dalam masa terdekat,” katanya.

Fasha Sandha Sedia Berdamai Dengan Nora Demi Anak Reviewed by on . Kuala Lumpur : Mengambil keberkatan Ramadan, pelakon Fasha Sandha bersedia memohon maaf kepada Nora Danish, sekali gus meleraikan sengketa antara mereka yang su Kuala Lumpur : Mengambil keberkatan Ramadan, pelakon Fasha Sandha bersedia memohon maaf kepada Nora Danish, sekali gus meleraikan sengketa antara mereka yang su Rating: 0
scroll to top