Skuad kendalian Gareth Southgate itu berjaya menepati ramalan untuk menjadi antara pasukan pilihan selepas tandukan pemain pertahanan Harry Maguire dan perancang muda, Dele Alli pada setiap babak sudah cukup untuk menjamin tempat mereka ke saingan empat pasukan terbaik tersebut.

Namun, England yang kali terakhir layak ke separuh akhir ialah pada 1990 di Itali sebelum tewas kepada juara ketika itu, Jerman Barat 4-3 menerusi penalti, dilihat lebih ‘laparkan’ kejayaan pada pertemuan malam ini.

Turun dengan misi memburu gelaran dunia kali kedua, skuad yang dibarisi pemain bintang Liga Perdana England itu tidak berdepan tentangan sengit daripada Sweden yang sebelum ini mengejutkan ramai pihak dengan melangkah ke saingan kalah mati ini.

Permainan babak pertama menyaksikan penguasaan England yang banyak melancarkan serangan sehingga memaksa pemain Sweden hanya berkampung di dalam kawasan sendiri.

Usaha mereka itu bagaimanapun gagal menyekat England untuk mendahului 1-0 hasil tandukan Maguire pada minit ke-30 yang kekal sehingga masa rehat.

Namun, Sweden yang muncul naib juara pada 1958 cuba bangkit pada babak kedua dengan serangan demi serangan dilancarkan ke atas kubu England.

Mereka hampir menyamakan kedudukan, namun percubaan yang dilakukan dapat diselamatkan penjaga gol England, Jordan Pickford yang bertindak cemerlang pada malam ini.

Ketika Sweden terus mengasak , England pula yang sebaliknya bernasib baik apabila serangan balas mereka berjaya ditanduk masuk oleh Alli pada minit ke-59.

Gol itu masih belum mematikan semangat juang pemain Sweden yang terus melakukan serangan tanpa henti bagi merapatkan kedudukan, namun jelas tuah tidak memihak kepada mereka sehingga tamat permainan.

Keputusan ini menyaksikan England akan berdepan pemenang di antara tuan rumah, Rusia dan Croatia yang akan berentap merebut satu lagi slot ke separuh akhir. -kosmo