Remy, 36, membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Ampang Jaya di sini pada pukul 2.30 petang semalam.

“Tunang saya menjalankan perniagaan membuat kasut tempahan khas untuk perkahwinan. Pada mulanya semua berjalan lancar, pelanggan terbabit telah pun membayar dan mengambil kasut yang ditempah.

“Tidak tahu apa masalahnya, kasut itu dikembalikan dan pelanggan tersebut mahu menuntut wangnya semula. Walhal tidak dinyatakan apa masalah dengan kasut yang dibeli. Pihak pelanggan itu juga enggan memberi kerjasama apabila diminta berunding,” kata Remy ketika dihubungi Kosmo, sebentar tadi.

Tambah Remy, pelanggan itu cuba mengambil kesempatan selepas mengetahui Ezza adalah tunangnya dengan mengugut mahu tularkan masalah yang berlaku antara mereka kepada umum.

Oleh itu, sebagai langkah mempertahankan diri, Remy terlebih dahulu membuat laporan polis.

Terdahulu Remy membuat naik video di Insta Story di akaun Instagramnya mendedahkan dia telah membuat laporan polis selepas diugut seorang lelaki dan turut memuat naik gambar laporan polis yang dibuat. – K! ONLINE