Ketua Pengurusan Anih Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata, pemberian diskaun itu bermula pada 12.01 pagi Rabu (13 Jun) hingga 11.59 malam Khamis (14 Jun).

“Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pemberian diskaun tol sempena Aidilfitri baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, seperti tahun-tahun sebelum ini, Anih Berhad turut menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan kepada pengguna yang ingin kembali pulang beraya ke pantai timur.

TTA itu juga secara langsung, katanya dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada sesuatu masa yang sama di plaza tol, khususnya Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak sehingga menyebabkan kesesakan. – Bernama