Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, polisi bagi memper­kenalkan skim tersebut adalah selaras dengan manifesto Pakatan Harapan untuk meningkatkan tahap keselamatan sosial dalam kalangan suri rumah yang sebelum ini bergantung kepada suami untuk menyara hidup.

“Skim ini dijangka bermula pada tahun ini secara sukarela dan akan melibatkan pemindahan dua peratus daripada caruman KWSP suami yang sedia ada kepada akaun KWSP suri rumah.

“Saya percaya skim ini tidak membebankan mana-mana pihak kerana suami tidak mengalami sebarang pengurangan gaji bersih yang dibawa pulang,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan semalam.